Monday, May 23, 2011

Mutiara 15


Kepedihan dalam mencapai cita-cita adalah nikmat, keletihan dalam mewujudkan obsesi adalah ketenangan,peluh kerana kerja adalah pewangi dan pujian yang baik adalah wewangian yang semerbak.

Sunday, May 22, 2011

Kek coklat moist harijadi dan perkahwinan


Ini pula tempahan kek oleh sahabat-sahabat saya. Tidak mahu berceloteh panjang, hanya gambar yang saya paparkan sahaja.


Ditempah oleh NISA Pasir Gudang




Ditempah oleh Ros sahabat saya untuk anak saudaranya.Inginkan bunga orkid untuk diletakkan diatas kek. Harap Ros dan pengantin berpuas hati.

Talam Marble


Talam marble ini adalah talam yang sangat mudah untuk membuatnya. Tadinya Intan sahabat saya datang ke rumah hendak menempah talam tetapi saya kesibukan pada masa itu.Oleh itu saya katakan padanya kalau dia mahukan juga talam, boleh.... tapi talam tanpa dikukus. Intan kata boleh saja .Maka, terhasillah talam ini dengan dibantu olehnya didapur saya pada masa itu.



Resepinya dari myresepi yang "famous" itu.
Talam Marble oleh kak fida

Bahan-bahan ( loyang 10x10 inc. )

250 g tepung Hoen Kwee (putih)-(1 sb rata=10 g) saya guna yang hijau
450 g gula halus (2 1/4 cwn rata) saya guna 400gm saja
2100 ml santan pekat (drpd 2 biji kelapa)
1 sk garam
3 sb serbuk koko

Cara-cara

Satukan kesemua bahan ke dlm mangkuk kecuali koko dan dibahagi 2. 1 bahagian di campur koko.
Masak adunan dlm periuk yg berasingan sehingga pekat,licin dan kelihatan meletup2. Matikan api.
Marblekan adunan berselang-seli warna hingga habis di dlm loyang yg bergris.Sejukkan.
Siap utk dipotong dan dihidangkan.
Cara2 ke 3 hendaklah dilakukan dgn cepat krane adunan cepat mengeras.

Tempahan Talam


Assalamualaikum kepada semua pengunjung blog saya yang tidak seberapa ini,terima kasih kerana sudi menjengahnya. Dibawah ini saya sertakan gambar-gambar tempahan pada beberapa hari yang lepas iaitu talam.


Talam Tokyo ditempah oleh Cikgu Zila



Talam Suji


Talam Serimuka dan Talam Suji ini juga ditempah oleh Ros sahabat saya untuk makan-makan malam berinai.


Talam Labu Berlauk Jepun ditempah oleh Cikgu Su.

Terima kasih sekali lagi kepada semua yang sudi menempah. Diharap semua berpuas hati.

Saturday, May 21, 2011

Mutiara 14


Gembira dengan dunia adalah kegembiraan kanak-kanak, gembira dengan keimanan adalah kegembiraan orang-orang abrar, berkhidmat kepada harta adalah hina dan beramal kepada Allah adalah kemulian.

Thursday, May 19, 2011

Sup Sayur dan Bebola Daging


Hari ini saya masak untuk anak-anak yang mudah-mudah saja. Lagi pula, dia orang ni susah nak makan sayur-sayuran. Jadi untuk menambahkan rasa dan menarik perhatian anak-anak saya untuk makan, saya telah memasukkan bebola daging. Memang kesukaan mereka dengan bebola daging ini.




Resepinya dari saya

Bebola daging 250gm sebarang jenama
Lobak sebiji dipotong dadu
Kentang sebiji dipotong dadu
Cendawan putih dalam 300gm

*Bawang putih 5 ulas
*Halia 1/2 inci
Bahan bertanda * ditumbuk lumat

2 sudu besar sos tiram
Putih telur 2 biji- kalau x letak pun x pe.
Minyak untuk menumis
Air secukupnya dan garam
Daun sup dan bawang serta bawang goreng

Cara-caranya

1. Tumis bahan yang ditumbuk sehingga naik bau. Setelah itu masukkan air dikuti kentang, lobak serta sos tiram.
2. Bila kentang sudah empuk, masukkan bebola daging, putih telur, garam dan didihkan lagi. Apabila sudah pasti bebola daging masak masukkan cendawan putih dan tutup api untuk mengelakkan cendawan terlalu lembik.
3. Hidangkan bersama daun sup,bawang dan bawang goreng.

* Pelbagai sayur-sayuran kita boleh masukkan seperti brokoli, bunga kobis atau yang sesuai untuk dibuat sup.Saya masak ni tidak banyak kerana hanya saya dan 2 orang anak saja yang tinggal.

SELAMAT MENCUBA

Wednesday, May 18, 2011

Mutiara 13


Kebahagian ilmu pengetahuan itu bersifat tetap, keagungannya kekal, namanya selalu dikenang; sedangkan kebahagiaan memiliki harta akan lenyap, keagungannya akan hilang dan namanya segera dilupakan.

Tuesday, May 17, 2011

UNTUKMU GURU PENDIDIK YANG SANGAT DIHORMATI


Sempena Hari Guru semalam saya telah membuat sedikit cenderahati buat guru-guru sekolah anak-anak saya menimba ilmu..Tiada apa yang dapat saya berikan selain dari ucapan terima kasih yang tidak terhingga kerana mendidik dan mengajar anak-anak saya sehingga menjadi insan yang berguna. Dengan tema hari guru iaitu GURU PENJANA TRANFORMASI PENDIDIKAN NEGARA menjadikan tugas guru semakin mencabar sekarang.Sebagai ibu bapa kita seharusnya bersama-sama membantu mendidik anak-anak kita agar sentiasa menghormati guru sebagai cikgu yang tidak pernah jemu mencurah ilmu dan bakti.



Kalau pada zaman sekolah saya dahulu, gurulah orang yang sangat kita takuti tapi bukan kerana kita takut tapi kerana kita sangat menghormati mereka. Tiada siapa yang berani untuk menceritakan kepada ibu bapa jika kita dimarahi atau dipukul kerana ibu bapa pasti akan memarahi kita semula.Lagi pula, ibu bapa kita dahulu sangat percaya dengan guru, kerana tugas guru itu sendiri sangat mulia pada pandangan lapisan masyarakat.



Oleh itu, marilah kita sama-sama berdoa agar semua guru-guru di Malaysia ini tabah dan sabar dalam mendidik dan mengajar murid-murid dalam era yang sangat mencabar ini.

Mutiara 12


Sepotong roti kering dalam keamanan itu lebih lazat daripada madu dalam ketakutan.Tinggal di khemah tetapi terjaga dari fitnah itu lebih baik daripada di istana yang penuh fitnah.

Monday, May 16, 2011

Sempena Hari Guru dan Hari Lahir Coklat "Moist" jadi pilihan


Sempena Hari Guru tidak sah kalau tiada kek untuk meraikannya.Begitu juga dengan sambutan Hari Lahir. Oleh itu saya kongsikan gambar kek-kek yang ditempah oleh mereka-mereka yang sangat menyokong saya selama ini.


Kek coklat "moist" ini ditempah oleh guru tadika smart reader Bandar Seri Alam. Tempahan kecemasan.










Kek Coklat "Moist" dengan coklat "Fudge" ini ditempah oleh guru besar Sek Ren Islam Pintar Bandar Seri Alam iaitu Cikgu Noraini. Tengoklah tulisan tu, nampak sangat macam orang baru belajar nak menulis. Apa-apa pun terima kasih kepada semua cikgu-cikgu Sek Ren Islam Pintar diatas dedikasi kalian terhadap anak-anak muridmu. Tidak pernah jemu mendidik mereka untuk menjadi insan yang berguna.Sebagai ibu bapa hanya Allah saja yang dapat membalasNya. Semoga dipermudahkan dalam menghadapi kerenah anak-anak murid kalian.


"Toffee Banana Vanila cake" ini ditempah oleh Ustaz Hazli sempena hari lahir adiknya Nasrul Haq yang dikasihi.


Makroni bakar ini ditempah oleh Cikgu Suriani Sempena Hari Guru di sekolah tadikanya.Terima kasih Cikgu Su kerana sentiasa menyokong saya.

Brownies Almond Coklat


Pada hari Ahad lepas saya telah melawat anak sulong saya Abdul Aziz di asrama, sempat juga buatkan brownies untuknya.Selain itu saya masakkan asam pedas ayam kegemarannya dan pizza hawaii. Tetapi saya tidak dapat kongsikan gambar kedua-duanya kerana lupa nak mengambilnya. Apabila dah layan anak-anak memang lupa semuanya. Lagi pula, ada rakan blogger yang hendakkan resepi brownie, jadi saya kongsikan bersama.


Nasib baik sempat ambik gambar, ni pun main tangkap muat je ambik.

Resepi dari Buku Kompilasi Tat dan Brownies oleh Salhah Bujang

Bahan A
250 gm coklat masakan
200gm mentega

Bahan B
180 gm gula halus
1 sudu teh esen vanila
4 biji telur

Bahan C
200gm tepung superfine(saya guna tepung gandum)diayak dahulu
200gm almond flake dipanggang sebentar separuh dimasukkan ke dalam adunan dan selebihnya di tabur sebagai hiasan.

Bahan D
250gm coklat masakan
100 gm cream (saya guna susu cair)
1 sudu makan mentega
dan saya tambahkan 1 sudu besar golden syrup
Semua bahan ini dicairkan dengan cara double boil kecuali mentega dan golden syrup. Setelah cair tutup api dan masukkn mentega serta golden syrup.

Cara-caranya
Cairkan bahan A dan tutup api dan masukkan bahan B dan kacau menggunakan whisk sehinga gula hancur dan adunan agak pekat sedikit dan masukkan bahan C dan dibakar pada suhu 180c selama 45 minit atau ikut kepanasan oven masing-masing.Setelah masak disejukkan dan siramkan dengan bahan D serta taburkan almond flake

Bubur ayam



Baru sempat nak kongsikan resepi bubur ayam ni, kesibukkan membataskan diri saya untuk meletakkannya dalam blog ini.Tiada apa yang istimewa akan bubur ayam ini, cuma bubur ayam yang biasa-biasa saja.



Resepinya dari saya

Beras dalam 250 gm
Air secukupnya untuk menhancurkan beras
Ayam dipotong kecil-kecil dalam 250 gm (terpulanglah kalau nak lebih)
Bawang putih 8 ulas dicincang halus
Sedikit Minyak Bijan dan minyak masak.
Ikan bilis dalam segenggam di goreng garing dan kisar halus (sebagai perasa)
Daun sup dan daun bawang serta bawang goreng
garam

Kalau hendak bubur ayam kita rasa lemak masukkan sedikit (saya tidak letak sebab lupa hendak membeli santan)santan pekat.

Cara-caranya

Rebus beras, sementara itu tumis bawang putih dengan minyak bijan dan minyak biasa dan masukkan ayam, setelah naik bau dan ayam cukup masak, masukkan kedalam nasi bubur. Bila beras sudah kembang , masukkan ikan bilis yang telah dikisar, daun sup dan bawang serta bawang goreng sedikit saja kerana semasa dihidangkan bahan-bahan tersebut atas dibuat tabur di atas bubur. Jangan lupa masukkan garam.

Mutiara 11


Mensyukuri nikmat akan menghapuskan bencana, meninggalkan dosa adalah kehidupan hati dan mengalahkan nafsu adalah kelazatan orang-orang besar.

Saturday, May 14, 2011

Mutiara 10


Perilaku buruk adalah azab, kedengkian adalah racun, ghibah adalah kehinaan dan mencari-cari kesalahan adalah kerugian.

Wednesday, May 11, 2011

Kek cawan dan pizza




Pizza ini ditempah oleh sahabat saya Kak Su iaitu guru ngaji kepada anak-anak saya.Dia memang suka sangat makan pizza dan katanya tidak perlu makan lagi di pizza hut sebab dah boleh tempah dari saya serta "homemade" panas-panas sampai di depan pintu. Terima kasih Kak su sebab menyokong produk saya.


Kek cawan yang "simple" sebab ada yang dihias dan tanpa hiasaan buttercream ini pula ditempah oleh Cikgu Liza dari Sek.Ren. Islam Pintar. Katanya dia mengidam hendak makan sangat. Lagi pula cikgu liza sedang mengandung 7 bulan. Bila dapat tempahan terus saja saya buat sebab orang mengidamkan..

Mutiara 9

Photobucket
Beruzlah adalah kerajaan berfikir, terlalu banyak bergaul adalah bodoh, menggantungkan diri kepada manusia adalah tindakan yang keliru dan memusuhi mereka adalah tindakan tidak bermanfaat.

Tempahan Tepung Kek Coklat "Moist" segera

Photobucket

Tempahan kek tepung coklat lembab ini datangnya dari SIL saya yang tinggal di Tmn Desa Skudai dan hendak buat stok dirumahnya. Sebenarnya sudah banyak kali dia menempah tapi saya tidak sempat hendak masukkan ke dalam blog dan selalu "miss" nak ambik gambar. Dengan menggunakan tepung kek coklat segera ini, semua kerja menjadi mudah serta boleh mendapatkan kek yang sangat sedap, lembut dan sangat lembab. Pasti seisi keluarga akan memuji kek yang anda buat sangat sedap.

Bahan-bahan yang diperlukan untuk anda mendapatkan kek coklat yang lembab dan mudah untuk menyediakannya.

1. Satu pek tepung kek coklat lembab
2. 1 cawan @ 250ml susu cair @ susu segar @ UHT Dutch Lady
3. 1/2 cawan @125ml minyak @ mentega cair
4. 2 butir telur
5. 1 cawan @ 250ml air panas

*menggunakkan sukatan cawan metrik

Cara-caranya

1. Satukan semua bahan kecuali air panas.
2. Pukul atau kacau sebati menggunakan whisk atau senduk kayu sahaja, tidak perlu "mixer" elektrik selama 2 hingga 3 minit.
3. Kemudian masukkan air panas perlahan-lahan sehingga sebati.(Adunan akan cair sedikit).
4.Kemudian masukkan kedalam loyang 9x9x3 inci yang telah dialas dengan kertas minyak.
5. Bakar pada suhu 160c selama 60 min hingga 90 minit, bergantung kepada oven masing-masing atau sehingga apabila dicucuk dengan lidi ianya kering.

Jika inginkan versi kukus boleh dikukus selama 1 jam 15 minit atau sehingga masak. Pastikan air kukusan tidak jatuh ke atas kek. Dan boleh dikukus menggunakan "tupperware" plastik yang tahan panas. InsyaAllah menghasilkan kek coklat yang lembab dan sangat menepati citarasa anda serta menghasilkan kek seberat 1.3 kg +-.
Mudah bukan, kepada sesiapa yang inginkan kek coklat yang lembab dari hasil air tangan anda sendiri bolehlah menhubungi saya.

Tuesday, May 10, 2011

Mutiara 8


Bersendirian itu lebih baik daripada kawan yang jahat, dan kawan yang soleh lebih baik daripada bersendirian, uzlah adalah ibadat, sementara berfikir adalah ibadah dalam bentuk yang lain.

Bihun Goreng Ibu Mertuaku


Bihun goreng ini saya masak untuk menu sarapan pagi, macam biasalah selalunya saya akan runsing sedikit kerana memikirkan apa nak masak untuk sarapan pagi. Itu belum fikir nak masak untuk makan tengahari dan malam...memang pening selalu. Ibu mertua saya memang suka dengan bihun-bihun goreng ni, lagi pula dia tidak makan nasi..rasannya dah lebih 5 tahun dia tidak makan nasi hanya makan lauk pauk, mee, roti dan lain-lain asalkan bukan nasi. Kenapa dan mengapa dia sendiri saja yang lebih tau. Sebagai menantu, pandai-pandailah masakkan apa yang dia suka dan boleh makan. Dibawah saya sertakan resepinya.



Bihun Goreng Ibu Mertuaku
(Untuk lebih kurang 8 orang makan)
Dari resepiku


Bihun satu paket (400gm) direndam dan ditoskan

Bahan * ini ditumbuk kasar-kasar dan kalau malas di"blender" pun boleh.
*Bawang besar 3 biji
*Bawang putih 10 ulas (lebih lagi sedap)
*Cili padi 15 biji (ikut kepedasan masing-masing)
*Ikan bilis segenggam dan kalau nak sedap lagi tambahkan udang kering

Kicap pekat(ikut gelap yang dimahukan)
Kicap manis 3 sudu makan
Sos tiram 3 sudu makan

Minyak masak untuk menumis secukupnya
Sedikit minyak bijan (3 sudu makan)
Isi ayam 1/4 ekor dipotong kecil-kecil
Telur 3 biji digoreng dan dihancur-hancurkan
Garam dan gula secukupnya.

Kobis secukupnya dihiris halus
Taugeh dalam RM0.50
Daun sup dan bawang

Cara-caranya
Masukkan minyak masak dan bijan . Kemudian masukkan bahan-bahan yang ditumbuk kasar. Setelah garing dan naik bau masukkan pula, ayam dan setelah 5 minit digaul rata masukkan pula telur yang telah digoreng hancur dikuti kicap pekat, manis dan sos tiram. Perisakan garam dan gula secukupnya.

Jika bahan tumisan kering masukkan air sedikit. Setelah itu masukkan bihun yang telah ditoskan dikuti sayur kobis. Apabila bihun dan kobis sudah lembut, barulah masukkan taugeh dan daun sup serta daun bawang.Gaul rata dan siap untuk dihidangkan. Bihun ini pasti harum baunya kerana fungsi minyak bijan tersebut.

Mutiara 7



Memberi maaf adalah lebih lazat daripada membalas dendam, bekerja lebih nikmat daripada menganggur, qanaah lebih bernilai daripada harta, dan kesihatan lebih baik daripada kekayaan.

Monday, May 9, 2011

Selamat Hari Ibu

Diharap masih belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat hari ibu kepada semua. Semoga kalian tabah dan sabar menghadapi cabaran dihari-hari mendatang dalam menjaga,mendidik dan membimbing anak-anakmu. Buat IBUKU dan IBU MERTUAKU..., jasamu tidak terbalas oleh anakmu ini, hanya ALLAH saja yang dapat membalasnya.


Mutiara 6



Kemampuan melupakan hal-hal yang tidak disenangi adalah satu nikmat, menginggat nikmat-nikmat adalah kebaikan, dan tidak memikirkan kekurangan orang lain adalah satu keutamaan.

Friday, May 6, 2011

Jemput-jemput ayam goreng


Semalam petang saya tidak memasak untuk makan malam, jadi hanya membuat jemput-jemput untuk mengalas perut. Ini kerana anak saya Hafiz tiada di rumah sebab mengikuti perkhemahan di sekolahnya, kalau masak memang "confirm" tidak akan habis punya.Kalau namanya jemput-jemput mesti mudah saja membuatnya. Tadinya ada ayam goreng dalam 3 ketul tidak habis dan duduknya dalam peti ais...kerana kesian dengan ayam tu, maka terhasillah jemput-jemput ayam goreng.




Bahan-bahan dari resepiku
tepung gandum dalam 3 1/2 cawan
1 sudu teh baking powder
kentang sebiji dipotong dadu
bawang besar 2 biji dipotong dadu
daun sup (ikut suka)
telur sebiji
ayam goreng dicarik-carik
garam
air secukupnya (adunannya tak cair dan tak peka sangat)

Cara-caranya
Masukkan semua bahan dan siap untuk menggorengkannya serta terus dihidangkan semasa panas-panas. Rasanya rangup diluar dan lembut didalam.

Mutiara 5



Wanita yang cantik lagi takwa, rumah yang luas, rezeki yang cukup dan tetangga yang soleh adalah kenikmatan yang kurang disedari oleh kebanyakan manusia.

Thursday, May 5, 2011

Tomyam versiku



Semalam petang sambil duduk dan sembang-sembang dengan MIL, saya bertanya pada MIL nak masak sayur apalah untuk juadah makan malam selain dari ayam goreng. Saya tengok MIL dan MIL tengok saya kerana masing-masing tak tahu nak masak apa. LAlu saya ke pasar mini dan tinjau apa yang patut dan tengok saja terus "set up" nak masak tomyam. Jadi lepas beli, balik rumah terus ke dapur dan masak. Dan hasilnya seperti di bawah.




Gambar agak gelap sedikit dari yang atas (amatur katakanlah...hehehe)

Resepi tomyam ku

Bahan-bahannya
1.Ayam 1/4 ekor dipotong kecil-kecil
2.Bunga kobis dalam 300gm dipotong kecil- kecil
3.Tomato 4 biji dibelah 4
4.Lobak merah sebatang dihiris
5.Jagung muda 4 biji dihiris
6.Bawang besar sebiji dibelah 4
7.Serai 2 batang dititik
8.Cili padi 13 biji dititik-titik jangan hancur sangat dan ikut suka masing-masing
9.Air 1.2 liter
10.2 kiub tomyam jenama ikut suka
11.2 sudu makan sos ikan
12.3 sudu makan air perahan limau
13.Daun limau purut 3 helai dikoyak-koyakan sedikit

Cara-caranya
Didihkan air bersama kiub tomyam dan serai, apabila sudah mendidih masukkan ayam diikuti semua sayur-yuran dan perisakan dengan sos ikan,garam,gula dan air limau serta jangan lupa daun limau purut. Bila sayur sudah lembut boleh padamkan api. Siap untuk dihidangkan ketika panas-panas.