Monday, June 27, 2011

Mutiara 20


Sembahyang berjemaah, menunaikan kewajipan, cinta kepada muslimin, meninggalkan dosa dan makanan yang halal adalah kebaikan dunia dan akhirat.

Kek Coklat "Moist"





Kek coklat "moist" dengan coklat "fudge" serta hiasan dengan buah strawberry dan kiwi ini, ditempah oleh Puan Anita dari Taman Bukit Dahlia. Terima kasih kepada Puan Anita kerana memberi saya peluang untuk memeriahkan harijadi suami yang tersayang.

Sunday, June 19, 2011

Mutiara 19


Dalam musibah itu terdapat empat seni, iaitu mencari pahala dari Allah, berkawan dengan kesabaran, berzikir dengan baik dan menunggu kelembutan dari Allah S.W.T.

Friday, June 17, 2011

Baulu



Tengahari tadi sedang selak-selak buku kompilasi kek oleh Nor Aini Zakaria, ternampak resepi baulunya...apalagi terus ke dapur dan mula mengadun. Macam orang dah pandai sangat buat baulu ni, padahal baru pertama kali. Acuan baulu pun dah lama beli tapi tidak pernah membuatnya lagi.Terperap kat dalam laci je. Dalam hati berkata, bila lagi nak buat kalau bukan sekarang...ikutlah segala bahan-bahan dan cara-caranya serta tip-tipnya. Dan hasilnya memang tidak mengecewakan, lembut dan gebu. Walaupun, terkial-kial untuk membuatnya kerana acuan masih juga ada yang terlekat. Namanya pun baru pertama kali membuatnya, pasti masih belum sempurna.



Baulu Kopi (saya tukar cappuccino)

Bahan-bahan
200gm gula kastor (saya letak 180 gm)
200gm tepung gandum
1 sudu teh serbuk penaik diayak bersama tepung
5 biji telur gred A (saya guna gred B 6 biji)
4 sudu makan "coklat rice"
3 sudu makan minyak masak
1 sudu teh emulco cappuccino

Cara membuatnya
1. Pukul telur dan gula sehingga putih dan gebu dengan kelajuan tinggi lebih kurang 10 minit.

2. Masukkan tepung sedikit-sedikit sambil digaul ke dalam adunan telur perlahan-lahan.

3. Campurkan cappuccino dan coklat rice. Akhir sekali masukkan minyak dan gaul sebati.

4. Sapu acuan baulu dengan minyak masak. Panaskan dalam ketuhar selama 5 minit.

5. Tuangkan adunan ke dalam acuan yang dipanaskan tadi.

6. Bakar pada suhu 180 - 200c selama 15 minit.

7. Setelah masak, cungkil baulu keluar dengan menggunakan lidi.Sejukkan.

Tips dari Puan Noraini Zakaria,acuan hendaklah diminyakkan dan dipanaskan terlebih dahulu sebelum dituangkan adunan baulu. Untuk membakar kali kedua, tidak perlu menyapu minyak lagi.Baulu ini hanya sesuai dibakar dalam ketuhar api atas bawah.

Mutiara 18


Sembahyang di waktu malam adalah keagungan siang hari, senang memberikan kebaikan kepada orang lain adalah satu bentuk kebersihan hati dan menunggu pertolongan Allah adalah ibadah.

Thursday, June 16, 2011

Lompat Tikam



Sejak kebelakangan ini, saya rasa hendak makan kuih yang manis-manis je..mungkin bahang puasa di bulan ramadan yang tidak lama lagi muncul agaknya yang membuat saya terpanggil untuk membuat kuih Lompat tikam ini. Ini adalah pertama kali saya membuatnya, rasanya ok sangat tapi saya kena perbaikinya lagilah... sebab pertama kali pasti macam ada yang tidak kena je, padahal sudah banyak yang saya makan bersama anak-anak. Resepi saya perolehi dari blog kak Hanieliza yang terkenal tu.



Resepi dari Blog hanieliza.blogspot.com
Bahan Lapisan Hijau
1 cawan tepung beras
1 s/b tepung jagung
3 cawan santan cair
1/2 cawan jus pandan + pewarna hijau (saya guna perasa strawberry dan pewarna merah)
1 s/k air kapur
secubit garam

Cara
1. Panaskan kukusan dan sapu minyak pada loyang.
2. Gaulkan semua bahan dan tapiskan.
3. Masakkan adunan diatas api sebentar dan masukkan dalam loyang dan kukus selama 15 minit.
4. Bila dah masak cakarkan sikit permukaan kueh supaya memudahkan bahagian lapisan santan melekat.


Bahan Lapisan Putih
1 cawan tepung beras
1 s/b tepung jagung
3 cawan santan pekat
1 s/k garam

Cara
1. Campurkan semua bahan dan tapiskan.
2. Masakkan bahan kueh ini sekejap diatas api.
3. Tuangkan adunan diatas lapisan hijau.
4. Kukuskan selama 15 minit dan sejukkan
5. Bila dah sejuk potong kueh dan hidangkan dengan air gula merah.

Air Gula Merah
Bahan
1 cawan gula merah
1 cawan gula biasa
2 cawan air
1 helai daun pandan [ koyakkan]

Cara
1. Masakkan semua abhan sehingga mendideh.
2. Tapiskan dan hidangkan bersama kueh lompat tikam

Wednesday, June 15, 2011

Mutiara 17


Kebahagian kerana makanan dan harta adalah kebahagiaan kanak-kanak, sementara kebahagiaan dengan pujian yang baik adalah kebahagiaan orang-orang besar dan perbuatan yang baik adalah keagungan yang tidak akan lenyap.

Tuesday, June 14, 2011

Puding Karamel



Assalamualaikum semua kepada pembaca-pembaca blog saya yang tidak seberapa ini. Hari ini mood terajinlah pulak sebab hajat nak buat puding ini dah lama sangat tapi baru berkesempatan untuk membuatnya. Ianya memang kegemaran saya semasa anak dara lagi, itu pun diberikan oleh jiran saya untuk juadah berbuka puasa. Sehinggakan kami adik beradik akan berebut-rebut sebab takut tidak dapat memakannya.Jika dikenang kembali memang boleh ketawa sendiri.Masa tu jangankan nak buat puding, buat agar-agar pun tidak pandai lagi.Resepi yang saya buat kali ini oleh Chef Sabri (Master Chef) yang sangat terkenal tu.Sangat mudah dan rasanya tidaklah manis sangat. Dikukus atau dibakar, ikutlah mana pilihan hati.




Resepinya

1 Liter susu UHT Dutch Lady
1/2 cawan gula pasir
8 biji telur saiz B yang saya guna
1 sudu teh esen vanila
1/2 cawan gula untuk gula hangus
1/2 cawan air panas (lebih sikit pun takpe, untuk dapatkan karamel yang banyak)

Caranya
Telur dan gula dikacau menggunakan "whisk" sehingga gula hancur.Masukkan esen vanila dan susu, kemudian ditapis dan ketepikan sebentar.Manakala, gula dimasak atas api dengan api perlahan sehingga keperang-perangan dan masukkan air panas.Setelah itu, tuang gula perang didalam loyang 9" dan diikuti adunan susu tadi dengan perlahan-lahan.Dan bakar pada suhu 170 c dengan teknik "steam bath" selama 1 jam 10 minit atau ikut kepanasan oven masing-masing. Setelah masak sejukkan dahulu kemudian masukkan ke dalam peti ais. Sedap dimakan ketika sejuk-sejuk.

Mutiara 16



Kebahagiaan itu adalah ketika mushaf menjadi kawan anda, kerja anda menjadi kesukaan anda, rumah anda menjadi tempat ibadah anda dan perbendaharaan anda adalah sifat qanaah anda.

Monday, June 13, 2011

Kek Harijadi dan Perkahwinan



Kek harijadi ditempah oleh Kak Nor untuk anak saudaranya.


Kek hantaran (steam buttercream) juga ditempah oleh Kak Nor.




Tema ungu kek perkahwinan 3 tingkat ini ,juga ditempah oleh Kak Nor.Terima kasih Kak Nor kerana sentiasa menyokong saya untuk terus kehadapan walaupun banyak cabaran yang saya tempuhi agar dapat memahirkan lagi skill saya.

Fancy Cookies For Wedding



Tempahan ini dari Cikgu Noraini Guru Besar Sek, Ren, Islam Pintar untuk majlis menyambut menantu sebanyak 100 biji.Terima kasih cikgu kerana sentiasa menyokong produk Caspian Cakes N Cookies.

Tempahan Tepung Kek Segera "FAMILY'S CAKE"




Ditempah oleh SIL sebanyak 53 bungkus. Permintaan menggalakkan oleh pelanggannya.Tepung kek coklat lembab ini sangat mudah menyediakannya, semudah 1,2 dan 3. Ingin merasainya...cubalah dengan menghubungi saya ditalian telefon bimbit. Tak lama lagi puasa dan selepas tu raya. Jadi bolehlah dihidangkan bila tetamu berkunjung dirumah.

Baru ada masa


Cuti penggal sekolah baru saja bermula dan saya pun baru berkesempatan untuk mengemas kinikan blog ini. Sepanjang cuti sekolah ini,saya sibuk dengan melayan anak-anak dan anak saudara yang bercuti di rumah. Maka, riuhlah rumah sepanjang cuti berlangsung.

Sehinggalah semalam selepas menghantar anak balik ke asrama, sunyinya terasa sangat kerana sebelum itu ,selepas subuh saya menghantar suami ke "airport" untuk sambung bertugas di luar negeri dan tengaharinya pula menghantar anak.Dan MIL juga pun turut serta pergi ke rumah SIL. Tadinya, rumah saya yang riuh rendah dengan suara dan bising anak-anak, tiba-tiba hening saja. Terasa sedihnya dihati.Tinggallah saya dan dua orang anak. Dan bermulalah kembali tugas-tugas saya sebagai suri rumah tanpa suami disisi.

Semasa cuti ada juga saya mengambil beberapa tempahan iaitu tepung kek segera FAMILY'S CAKE, Fancy cookies, kek harijadi dan kek perkahwinan.