Friday, June 17, 2011

Baulu



Tengahari tadi sedang selak-selak buku kompilasi kek oleh Nor Aini Zakaria, ternampak resepi baulunya...apalagi terus ke dapur dan mula mengadun. Macam orang dah pandai sangat buat baulu ni, padahal baru pertama kali. Acuan baulu pun dah lama beli tapi tidak pernah membuatnya lagi.Terperap kat dalam laci je. Dalam hati berkata, bila lagi nak buat kalau bukan sekarang...ikutlah segala bahan-bahan dan cara-caranya serta tip-tipnya. Dan hasilnya memang tidak mengecewakan, lembut dan gebu. Walaupun, terkial-kial untuk membuatnya kerana acuan masih juga ada yang terlekat. Namanya pun baru pertama kali membuatnya, pasti masih belum sempurna.



Baulu Kopi (saya tukar cappuccino)

Bahan-bahan
200gm gula kastor (saya letak 180 gm)
200gm tepung gandum
1 sudu teh serbuk penaik diayak bersama tepung
5 biji telur gred A (saya guna gred B 6 biji)
4 sudu makan "coklat rice"
3 sudu makan minyak masak
1 sudu teh emulco cappuccino

Cara membuatnya
1. Pukul telur dan gula sehingga putih dan gebu dengan kelajuan tinggi lebih kurang 10 minit.

2. Masukkan tepung sedikit-sedikit sambil digaul ke dalam adunan telur perlahan-lahan.

3. Campurkan cappuccino dan coklat rice. Akhir sekali masukkan minyak dan gaul sebati.

4. Sapu acuan baulu dengan minyak masak. Panaskan dalam ketuhar selama 5 minit.

5. Tuangkan adunan ke dalam acuan yang dipanaskan tadi.

6. Bakar pada suhu 180 - 200c selama 15 minit.

7. Setelah masak, cungkil baulu keluar dengan menggunakan lidi.Sejukkan.

Tips dari Puan Noraini Zakaria,acuan hendaklah diminyakkan dan dipanaskan terlebih dahulu sebelum dituangkan adunan baulu. Untuk membakar kali kedua, tidak perlu menyapu minyak lagi.Baulu ini hanya sesuai dibakar dalam ketuhar api atas bawah.

No comments:

Post a Comment